Ditulis oleh: Farah Hanan Azahar
Sebut saja “durian”, pasti kita boleh menghidu aroma buah tempatan ini dari jauh. Orang kata, tak kenal maka tak cinta — tetapi ada juga yang telah mengenalinya, dan masih tidak suka kerana dikatakan busuk oleh haters durian, dan rasanya yang kuat bergas.
Kredit: Mothership SG
Durian atau dalam bahasa saintifik digelar durio, menjadi sebuah daya tarikan di negara-negara Asia yang menarik ramai pelancong dunia. Kegilaan tentang raja buah ini terbukti di Thailand baru-baru ini, di mana sebiji durian Kanyao dilelong dengan harga 1.5 juta Thai Baht (RM199,000) kerana saiz, bentuk, dan kematangannya yang sempurna.
Beli tiket pengalaman dengan durian
Musim durian di sini telah bermula, dan inilah waktunya untuk anda menikmati hasil yang terbaik dari dusun! Dengan lebih daripada 200 variasi durian yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian, Malaysia adalah negara penghasil durian terbanyak mengatasi Thailand dan Indonesia. Inilah beberapa jenis durian paling popular di Malaysia setakat ini:
Kredit: Facebook Durian King TTDI
Tak lain tak bukan, inilah durian yang memegang takhta sebagai raja buah di Malaysia selama bertahun-tahun. Durian premium ini berasal dari Tanah Merah, Kelantan dan ia merupakan kegemaran import ke China, Amerika Syarikat, dan Australia, menjadikan harganya juga lebih mahal.
Hati-hati, kerana ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menjual jenis durian lain sebagai Musang King demi mengaut keuntungan. Durian asli Musang King mempunyai isi berwarna kuning keemasan dengan tekstur yang lembut dan berkrim. Isi durian ini juga lebih tebal, berkilat dan berbiji kecil berbanding durian lain.
Rasa: Lemak manis, sedikit pahit, buttery, aroma yang kuat
Lokasi mudah didapati: Durian King TTDI, SS2 Durian House, di sekitar Sungai Klau dan Sungai Ruan di Raub atau Gua Musang
Tips: Mempunyai bentuk lebih bujur seperti bola ragbi, kulit hijau muda, duri berbentuk seperti piramid kecil, bahagian bawah buah mempunyai corak garisan seakan-akan bintang yang ketara.
Kredit: Facebook Sinnaco Durian Specialist
Berasal dari Banting, Selangor, durian Tekka pada asalnya mempunyai banyak nama panggilan (Buluh Bawah, Chok Kiok dan Green Bamboo) sebelum ia dijenamakan semula sebagai Musang Queen, menjadikannya pasangan kepada Musang King. Comel kan? Durian pun ada pasangan! 😆
Isinya pula berulas besar, tebal, dan berwarna krim kekuningan dengan biji bersaiz sederhana besar. Saiz buah ini juga sederhana besar dengan lingkungan berat 1.5 – 3 kg setiap biji, dan kulitnya yang nipis membuatkan ia mudah dikupas.
Rasa: Manis dengan sedikit pahit, berlemak, tekstur berkrim
Lokasi mudah didapati: Sinnaco Durian Specialist, Ezy Durian, Jimmy’s Durian Orchard Bentong
Tips: Saiz agak besar dan berbentuk lonjong (besar di atas, kuncup di bawah), menyerupai bentuk hati dengan lekuk pada pangsa.
Kredit: Year of The Durian
Berasal dari Balik Pulau, durian baka kahwin ini menghasilkan isi berulas halus, berwarna kuning jingga kemerahan dan setiap biji mempunyai lapisan krim yang sangat menyelerakan. Diberi nama tempatan Ang Hae, jenis durian ini yang berkualiti tinggi agak sukar ditemui, menyebabkan harganya kadangkala lebih mahal daripada Musang King.
Durian ini juga ditanam di negeri Pahang dan Johor, tetapi rasanya tidak sama seperti Udang Merah Pulau Pinang yang asli. Kebiasaannya berkulit coklat perang, durian ini berbentuk bujur, berduri pendek, dan agak susah dikupas kerana berkulit tebal dan keras.
Rasa: Berlemak manis, melekit, halus dan lembik, aroma yang menyelerakan
Lokasi mudah didapati: Chen Brothers Durian & Fruit Kepong, Kebun Durian Soon Huat dan Kebun Durian Stone House Pulau Pinang
Tips: Kulit Udang Merah yang berwarna hijau keperangan dikatakan ditanam di luar Pulau Pinang. Untuk memilih Udang Merah yang terbaik, pastikan beratnya dalam 1 kg sebiji.
Kredit: Facebook SS2 Durian House
D24 atau durian Sultan mudah untuk dikenalpasti dan ditemui. Ia berbentuk bulat, mempunyai duri yang lebih tirus dan tajam, dengan susunan duri-duri halus yang rapat di keliling tangkai. Di bahagian bawah buah ini terdapat bulatan berwarna coklat seperti serpihan dari bunga.
Berwarna kuning pucat, isinya mempunyai tekstur tebal dan lembut. Dengan harga berpatutan (dari RM19 per kg), ia juga selalu dihidang dalam bufet durian. D24 mampu memberi kepuasan setanding durian premium jika anda pandai memilih.
Rasa: Sangat berlemak, sederhana manis dan pahit, aroma sederhana kuat
Lokasi mudah didapati: SS2 Durian House, Dusun Durian D24 Azlan Gopeng, Kebun Nictron Agriculture, di sekitar Cameron Highlands
Tips: Kulit durian Sultan D24 berwarna hijau muda, nipis dan mudah dikupas. Biasanya, satu pangsa beris dua atau tiga ulas.
Kredit: Durian Republic
Dikatakan jauh lebih enak daripada Musang King yang overrated, durian premium dari Sungai Bakap, Pulau Pinang ini semakin menjadi buruan “hantu durian”. Bergantung kepada usia pokok tersebut, isinya yang lebih bulat berbanding durian lain juga mempunyai variasi warna berbeza, daripada jingga pastel seakan-akan merah jambu, hingga jingga terang.
Walaupun isi tidak setebal Musang King, keunikan rasa lemak manis Black Thorn yang menyelerakan pasti membuat setiap penggemar durian termimpi-mimpi! Sekarang, harga Black Thorn yang berkualiti bermula sekitar RM60 per kg dan boleh mencecah RM105 per kg.
Rasa: Sangat berkrim, berlemak manis dengan aftertaste pahit, aroma kurang tajam
Lokasi mudah didapati: Durian King TTDI, SS2 Durian House, Black Thorn Durian 668 Kulim, Dusun Durian Bao Sheng Pulau Pinang
Tips: Juga digelar Ochee, Duri Hitam atau Hei Tze, bentuk durian ini berbeza mengikut musim dan kawasan tanaman. Kebiasaannya, ia berbentuk bulat, bertapak rata, bertangkai kecil (kira-kira sebesar ibu jari), dan bahagian bawahnya mempunyai lingkaran hitam dengan titik kecil tanpa duri.
Kredit: Facebook Year of the Durian
Durian kegemaran ramai rakyat Singapura ini diberi nama kerana durinya yang nipis dan tajam dengan isi berwarna kuning pucat keputihan, menyerupai ciri-ciri burung lagenda Phoenix. Berasal dari Johor, durian klon berbentuk bulat dan kecil ini tumbuh dari pokok lama.
Juga dikenali dengan nama Kim Hong atau Jin Feng, raja buah ini sesuai untuk mereka yang sukakan rasa durian yang lebih pahit dari manis. Isinya tidak sepadat Musang King, berbiji kecil, dengan aroma yang tajam. Golden Phoenix banyak ditanam di Johor dan Pahang, dan agak sukar ditemui di negeri-negeri lain.
Rasa: Lebih pahit dari manis, sedikit berair dan berserat, aroma yang tajam
Lokasi mudah didapati: Sinnaco Durian Specialist, Durian Agro Hub Tangkak, di sekitar Batu Pahat
Tips: Di bawah buah ini mempunyai lima garisan seperti Musang King, tetapi kulitnya lebih nipis dan mudah dikupas. Di Durian Agro Hub Tangkak, anda boleh mencuba Golden Phoenix dengan rasa paling asli yang berbuah dari ibu pokoknya yang masih hidup sehingga hari ini.
Kredit: Facebook Durian Batu Kurau
Pernah nampak tawaran 3 biji durian untuk RM10 yang dilonggokkan dalam bakul-bakul besar? Mungkin itu adalah durian kampung. Dalam lautan pelbagai jenis durian hibrid yang mencuri perhatian, masih ramai yang setia menikmati durian ini kerana ia paling mudah dijumpai dengan harga termurah.
Durian paling OG ini terhasil dari pokok tunggal yang berusia ratusan tahun. Walaupun isinya agak padat, rasa durian kampung yang asli tidak konsisten sama sekali — ada yang pahit, ada yang manis. Senang cerita, ikut nasib.
Rasa: Manis (seperti vanilla), pahit atau tawar, tidak konsisten dan berbeza
Lokasi mudah didapati: Mana-mana kedai durian, tetapi durian kampung asli kebanyakannya ada di Batu Kurau, Perak dan di sekitar Melaka
Tips: Durian kampung Gred A mempunyai berat lebih dari 1.5 kg sebiji (RM15 – RM18 per kg), Gred B kurang 1 kg (RM 10 per kg), dan Gred C untuk membuat tempoyak (3 biji RM10).
Ini bukan Photoshop. Ada di antara anda yang masih belum pernah melihat durian berwarna merah ini? Diberi nama saintifik durio graveolens yang bermaksud “durian busuk”, aroma Sukang dikatakan agak kuat dan tidak sesuai untuk mereka yang mementingkan bau daripada rasa.
Berasal dari Sabah, ramai yang menyangka saiznya sama dengan durian biasa kerana dibayangi duri yang panjang bercacak seperti landak, tetapi sebenarnya ia sangat kecil, malah ada yang hanya sebesar tapak tangan! Apabila dikupas, anda hanya boleh menikmati dua atau tiga ulas isi di dalamnya, dan sebab itulah durian Sukang biasa dijual dalam 4 – 6 biji seikat.
Rasa: Sedikit manis dan pahit, aftertaste masam yang unik, aroma seperti kacang
Lokasi mudah didapati: Pasar Terbuka Pekan Ranau, di sekitar Tuaran, Sabah dan Limbang Sarawak
Tips: Lain dengan musim durian biasa, durian hutan eksotik ini berbuah dari Oktober hingga November. Kulit durian Sukang yang telah masak berwarna hijau kekuningan hingga ke kuning jingga, dan isinya berwarna jingga pekat hingga merah terang.
Fakta menarik: Kajian membuktikan bahawa durian mengandungi banyak khasiat seperti vitamin dan mineral penting yang memberi kebaikan kesihatan seperti mencegah kanser, merawat kemurungan dan insomnia, mengubati anemia, dan menguatkan tulang.