Traveloka MY
09 Nov 2023 - 7 min read
Apabila bercakap tentang Penang, perkara utama yang terlintas di fikiran semestinya mengenai makanan. Tidak dinafikan, ia merupakan ‘syurga’ buat penggemar makanan yang suka mencuba sesuatu yang baru dan unik.
Dengan kehadiran pelbagai jenis restoran dan gerai jalanan untuk dipilih, Penang adalah lokasi yang sesuai untuk anda memburu makanan tempatan dan juga hidangan luar. Bukan itu sahaja, negeri yang terletak di Utara Malaysia ini juga mempunyai pelbagai pilihan kafe menarik yang wajib dikunjungi.
Disebabkan oleh kekayaan sejarah, budaya dan warisan, kebanyakkan kafe-kafe di Penang memang sangat unik dan berbeza daripada kafe di tempat lain sama ada dari segi rekaan seni bina kafe dan konsep yang diketengahkan.
Untuk memudahkan pencarian anda mencari kafe-kafe unik di sekitar Penang, berikut kami kongsikan 9 kafe yang menawarkan pelbagai konsep menarik untuk anda lawati. Mari teruskan membaca!
Berikut ialah senarai 9 kafe dengan konsep menarik yang ada di sekitar Penang, Malaysia:
Source: Ilustration of Fly Me to Cafe (Eby Kee)
Alamat: Tingkat 5, Atas bumbung Hotel Wow, George Town, Pulau Pinang.
Waktu Operasi: 12PM-10PM (Isnin-Khamis) | 12PM-12AM (Jumaat-Ahad)
Fly Me To Cafe terletak di atas bumbung Hotel Wow , tingkat 5. Dari kafe ini anda boleh melihat pemandangan bangunan KOMTAR yang tinggi.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke kafe ini, anda akan segera melihat lantai dihiasi dengan batu putih serta perabot serba putih. Selain itu, ia mempunyai 5 tempat duduk khemah luar dengan suasana Bohemian. Sekiranya anda peminat konsep Bohemian, anda memang wajib berkunjung ke kafe ini.
Jika anda risau cuaca panas apabila duduk lepak di khemah luar Bohemian kafe ini, lupakan kerisauan anda. Hal ini kerana, khemah peribadi Bohemian tersebut dilengkapi dengan penghawa dingin, tetapi anda hanya boleh menghabiskan masa di situ selama 90 minit.
Untuk menu, Fly Me To Cafe menyajikan hidangan utama Barat sepanjang hari dan beberapa minuman yang agak unik seperti pilihan minuman berkafeinnya yang menggabungkan Mojito klasik dengan unsur tambahan espresso.
Fly Me To ialah kafe atas bumbung yang indah lebih-lebih lagi apabila dikunjungi pada waktu petang untuk pemandangan langitnya. Oleh itu, jika anda gemar menjamu selera dengan pemandangan yang indah, Fly Me To Cafe adalah pilihan yang terbaik.
Source: Ilustration of Catonomy (CATONOMY)
Alamat: Annex Building B, Lebuh Victoria, George Town, Pulau Pinang.
Waktu Operasi: 11AM-9.30PM (Selasa-Ahad) | Isnin (Tutup)
Catonomy Penang merupakan salah satu kafe kucing wajib dikunjungi terutamanya buat pencinta kucing. Kafe yang terletak di George Town, Penang ini mempunyai kucing-kucing comel untuk menemani anda sambil anda menjamu selera dengan hidangan Jepun yang lazat.
Selain itu, seni bina kafe ini juga sangat menarik. Di bahagian luar kafe jelas memaparkan seni bina tradisional Cina. Ini mungkin disebabkan ia terletak betul-betul di sekitar kuil Khoo Kongsi di George Town, jadi pemilik mengambil ilham daripada situ.
Di bahagian dalam kafe pula berkonsepkan kedesaan dilengkapi dengan perabot kayu dan countertop bertemakan bata yang memberikan suasana santai.
Adalah penting bagi pengunjung untuk mengambil perhatian tentang beberapa "catiquette", seperti mencuci tangan anda sebelum mengendalikan kucing dan bersikap lembut dengan mereka. Ini juga termasuk peraturan tidak membawa dan tidak memberi makan kepada kucing-kucing yang ada sesuka hati.
Source: Ilustration of China House (George Leung)
Alamat: 153 & 155, Lebuh Pantai and 183B, Lebuh Victoria, George Town, Pulau Pinang.
Waktu Operasi: 9AM-12.30AM (Isnin-Ahad)
Berkunjung ke kafe vintage yang dikenali sebagai China House ini bakal menawarkan anda peluang untuk mengimbau semula masa lalu anda.
Digelar "Kafe Terpanjang di Pulau Pinang", China House terdiri daripada 3 bangunan warisan dua tingkat inidengan 14 ruang berbeza yang terdapat di dalamnya- termasuk kafe, kedai roti dan restoran. Untuk pengetahuan anda, kafe ini adalah termasuk dalam Warisan UNESCO Penang. Ini menjadikannya lokasi tarikan utama pengunjung untuk berkunjung ke sini.
Dari segi menu, kafe ini terkenal dengan hidangan kek, pencuci mulut dan juga teh. Apabila tiba, anda akan disambut dengan deretan pilihan kek yang panjang dan pelbagai. Terdapat lebih 50 jenis kek berbeza dijual setiap hari. Memang ‘syurga’ untuk pencinta kek!
Souce: Ilustration of Farm House Cafe (Thillai Ambalam)
Alamat: 617F, Jalan Balik Pulau, 11500 Ayer Itam, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 6PM-11.30PM (Selasa-Ahad) | Isnin (Tutup)
Air Itam adalah daerah pinggir bandar yang terletak di kawasan atas bukit, Penang. Dengan lokasinya, ia pasti menempatkan beberapa kafe terbaik dengan pemandangan yang menakjubkan. Salah satunya ialah, Farm House Cafe.
Farm House Cafe, terletak tidak jauh dari Kuil Kek Lok Si yang ikonik. Kafe sederhana ini telah beroperasi selama bertahun-tahun dan masih lagi menjadi tempat kegemaran ramai pengunjung.
Jangan terkejut, menu popular di kafe ini adalah mi segera jenama mama Thailand. Mi tersebut di masak dalam periuk yang ditambah dengan pelbagai bahan, termasuklah udang galah.
Selain itu, terdapat juga set mi segera lain yang dihidangkan dengan bahan tambahan eksklusif. Farm House Cafe juga menawarkan pelbagai jenis hidangan rumah untuk anda pilih dengan harga yang sangat berbaloi.
Jika anda bercadang untuk menginap di sekitar sini, anda boleh menempah hotel bajet seperti DeView Hotel Penang. Kelebihan apabila menginap di sini, anda bukan sahaja boleh berkunjung ke kafe ini, tetapi anda juga boleh pergi ke lokasi menarik lain berhampirannya dengan mudah.
Source: Ilustration of Tolk Café (Tolk Café)
Alamat: Pekan Ayer Itam, 11500 Ayer Itam, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 7.30AM-10PM (Isnin-Ahad)
Kuil Kek Lok Si ialah salah satu kuil Buddha yang popular di Penang. Selain Farm House Cafe, berhampiran kuil ini terdapat beberapa lagi kafe lain yang terkenal seperti Tolk Café.
Tolk Cafe terletak hanya 11 minit (jika berjalan kaki) daripada kuil ini. Anda boleh mengisi perut dan berehat di kafe ini setelah penat berjalan dan melawat kuil tersebut. Tolk Café ini juga berhampiran dengan DeView Hotel Penang juga tau. Untuk pengetahuan pengunjung, kafe ini menyediakan makanan tidak halal ya.
Salah satu menu utama di kafe ini ialah Wan Ton Mee atau dikenali sebagai Tolk Tolk Mee. Selain itu terdapat juga pencuci mulut dan minuman sejuk yang menyegarkan. Dari segi harga pula, ia hampir sama dengan caj kafe standard, tidaklah terlalu mahal.
Source: Ilustration of Edelweiss Café (Murray Langton)
Alamat: 38, Armenian Street, 10200, Georgetown, Penang
Waktu Operasi: 6.30PM-10PM (Khamis-Jumaat)| 5PM-10PM (Sabtu-Ahad)| Isnin-Rabu (Tutup)
Armenian Street adalah merupakan ‘lorong bersejarah’ di Penang. Salah satu kafe yang anda wajib cuba di sini ialah Edelweiss Café.
Kafe ini terletak di rumah kedai pertama yang wujud di Penang yang telah berusia 150 tahun bahkan terdapat beberapa kelengkapannya berumur sehingga 2,000 tahun!
Mengekalkan keaslian warisan Penang, 'kafe purba' ini juga turut berfungsi sebagai muzium mini di mana pelancong boleh melihat sejarah Penang.
Pemiliknya adalah merupakan seorang bekas pemandu pelancong sendiri dan gemar bercerita mengenai maklumat pelancongan kepada pelancong asing yang berkunjung ke kafe ini.
Di kafe ini, anda boleh menikmati pelbagai hidangan lazat serta bir import bersama baucar pencuci mulut percuma jika anda membelanjakan sekurang-kurangnya RM30 dalam satu bil. Untuk pengetahuan pengunjung, kafe ini juga menyediakan makanan tidak halal.
Source: Ilustration of La Vie En Rose (Abdan)
Alamat: 19, Lebuh Melayu, George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 10.30AM-6PM (Rabu-Ahad) | Isnin-Selasa (Tutup)
Jika anda sedang mencari kafe yang menghidangkan pastri Perancis klasik di tengah George Town, La Vie En Rose cafe adalah pilihan yang ideal. Nama kafe ini pun sudah cukup melambangkan tema yang dibawanya.
Dengan warna merah jambu pastel, bangunan luar kafe ini sangat mudah dikenali daripada jauh. Kafe ini terkenal dengan hidangan pencuci mulut Perancis seperti croissant, beignet dan madeleine terbaik yang boleh anda temui di Penang. Apatah lagi apabila digandingkan dengan secawan kopi. Fuh memang nikmat!
Selain menikmati hidangan, setiap sudut kafe ini juga sangat ‘instagramable’. Anda boleh jadikan kafe ini lokasi lepak dengan kawan-kawan sambil mengabadikan gambar di setiap sudut kafe.
Source: Ilustration of Thali-NR Sweet Cafe (doris lim)
Alamat: 19, Lebuh Melayu, George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 10.30AM-6PM (Rabu-Ahad) | Isnin-Selasa (Tutup)
Little India adalah adalah sebuah lokasi di Penang yang menampilkan budaya kumpulan etnik terkecil di Malaysia, iaitu India. Di sini, anda boleh temui pelbagai benda menarik mengenai kaum India.
Apabila berkunjung ke sini, anda boleh pertimbangkan untuk menjamu selera di Thali-NR Sweet Cafe. Kafe ini menawarkan pelbagai snek manis dan berperisa India, termasuk gula-gula India moden yang hanya terdapat di India. Kafe ini juga menyajikan Biryani yang lazat dan set daun pisang untuk mengisi perut anda yang berkeroncong.
Di kafe ini juga, anda boleh dapatkan pelbagai jenis manisan untuk dijadikan hadiah atau ole-ole untuk insan tersayang.
Terdapat juga beberapa hotel menarik di kawasan ini yang anda boleh tempah sekiranya anda ingin bermalam. Antaranya ialah, Ren I Tang Heritage Inn, 23 Lovelane Hotel Penang, Yeng Keng Hotel dan sebagainya.
Source: Ilustration of The Alley (The Alley, 5 Stewart Lane)
Alamat: 5 Stewart Lane, George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 12PM-12AM (Isnin-Ahad)
The Alley menyembunyikan dirinya di jalan yang agak sunyi bernama Stewart Lane. Dari luar, ia tidak nampak seperti kafe dan nama kafe pun tidak terpampang. Sekiranya anda berdiri di hadapan bangunan yang memiliki tanda “Kedai Gaharu Keat Seang”, disitulah letaknya kafe The Alley ini.
Hidangan yang popular di kafe ini ialah churros dan kopi. Gandingan dua menu ini memang tiada tandingannya. Kopi di sini dibancuh dengan baik dan churros di sini sangat lazat dan tidak terkata.
Jadi sekiranya anda mencari kafe dengan suasana yang sepi, tenang, tidak terlalu ramai pengunjung dengan menu makanan yang ringan, The Alley adalah pilihan yang tepat.
Terdapat banyak kafe di sekitar Penang dengan konsep yang bermacam-macam untuk anda pilih berdasarkan citarasa anda. Kebanyakan kafe-kafe ini bukan sahaja menjadi tempat menjamu selera tetapi juga sebagai tempat kunjungan untuk dilawati bagi merasai pengalaman baru.
Teroka lagi idea-idea perjalanan yang lebih menginspirasi: