Mews sebenarnya tak ada kena mengena dengan bunyi kucing. Mews asalnya daripada perkataan British untuk menggambarkan kandang yang telah ditukar menjadi rumah. Muntri Mews yang terletak di kalangan rumah kedai zaman pra-peperangan di George Town ini mengambil nama unik ini kerana struktur asalnya yang berfungsi sebagai kandang komunal untuk kereta kuda dan juga kuarter pekerja di tingkat dua.
Hotel yang diuruskan oleh Chris Ong ini juga masih mengekalkan hiasan dalamnya dengan menambah sedikit sentuhan moden. Apabila anda melangkah ke dalam kawasan hotel, anda akan dikelilingi halaman yang hijau, subur dan beranda yang menghadap matahari. Tetamu yang tajam pemerhatiannya pasti akan perasan yang beberapa hiasan menunjukkan struktur asal bangunan, seperti pelana kuda, abah-abah dan roda kereta.
Ketika berjalan ke bilik kami, papan-panan akan berkeriuk menandakan usianya yang sudah berabad tapi masih kukuh. Anda pasti tak boleh menahan daripada meneliti keadaan sekeliling dan berasa kagum dengan tingalan sejarah di hotel ini walaupn dengan penambahan konsep kontemporarinya.
Muntri Mews menawarkan lima jenis penginapan termasuklah Bilik Standard Mews untuk dua orang tetamu dan Mews Residence 2 untuk tetamu sehingga 20 orang. Tak kisah apa jua bilik yang anda tempah, bahagian dalaman bilik pasti akan buat anda berasa seolah-olah berada di rumah sendiri.
Rasa seolah-olah berada di zaman lampau. Dengan perabot antik dan hiasan dalaman yang merangkumi karpet bercorak, kusyen warna ceria dan hiasan lain, setiap bilik diberi hiasan yang diinspirasikan daripada Peranakan.
Ruang yang luas untuk bersantai di sofa lebih selesa dengan adanya ruang tidur yang berasingan. Bilik-bilik dilengkapi dengan TV LED, port USB, kabel pengecas, peti ais kecil, pembesar suara Bluetooth dan Wi-Fi yang diberi secara percuma. Beberapa bilik lain juga didatangkan dengan katil empat tiang yang dihiasi dengan langsir putih yang memberikan gambaran dekorasi kolonial.
Memandangkan bilik-bilik di hotel ini terletak jauh di lorong yang sempit dan jauh dari jalan utama, para tetamu boleh menikmati suasana yang aman dan privasi jauh dari hiruk-pikuk George Town. Jika anda menginap di salah satu bilik di tingkat atas, anda juga boleh menikmati matahari dari beranda sambil duduk bersantai.
Halaman berbatu di bawah ini penuh dengan kehijauan tropika, mengubahnya menjadi hutan kecil dalam bandar. Instagrammer - anda tahu apa yang perlu dilakukan!
Tahukah anda Muntri Mews adalah hotel mesra haiwan peliharaan? Bilik-bilik pada tingkat bawah mengalu-ngalukan tetamu comel ini dalam percutian staycation anda - tapi hanya kalau haiwan peliharaan anda berkelakuan baik!
Mews Cafe, restoran milik hotel ini juga agak popular di kalangan orang tempatan. Menunya mempunyai hidangan enak serta versi unik makanan tempatan yang penuh dengan letusan rasa. Kopi juga dihidangkan untuk pelengkap hidangan.
Kami cadangkan anda mencuba nasi lemak, yang disediakan bersama sambal udang dan ikan saba, begitu juga dengan rendang daging yang lembut. Anda tahu yang makanan anda enak kalau disediakan dalam dulang yang juga ada hidangan sampingan yang lain.
Kopi yang kaw adalah apa yang anda perlukan untuk buat anda bangun dan memulakan hari anda dengan baik. Kopi flat white pasti dapat buat peminat kopi seperti anda puas hati, tapi kalau anda lebih sukakan rasa yang manis, cuba kopi caramel macchiato. Yang uniknya di sini kopi di sini dihidangkan dalam set yang berlainan.
Untuk penginapan yang mewah tapi berpatutan di George Town, tempah bilik di Muntri Mews.
Terletak di Muntri Street, Muntri Mews berdekatan saja dengan Love Lane, tempat tumpuan backpacker, serta tarikan popular lain seperti Cheong Fatt Tze Mansion, dan kedai kegemaran untuk peminat makanan, seperti Pasar Malam Chulia Street. Ini antara yang kami lakukan sepanjang penginapan kami:
Rumah agam yang menjadi sebahagian set filem hit Hollywood, Crazy Rich Asians, Cheong Fatt Tze Mansion atau lebih dikenali sebagai Blue Masion, hanya 5 minit dari Muntri Mews.
Jelajah rumah agam ini dengan juru pandu untuk mengetahui lebih dalam tentang sejarah rumah agam ini dan budaya Peranakan. Terdapat tiga sesi setiap hari pada 11.00 pagi, 2.00 petang dan 3.30 petang; setiap satunya selama lebih kurang 45 minit. Tip: Untuk memastikan anda mendapat slot yang anda mahukan, tempat tiket anda secara dalam talian.
Cheong Fatt Tze Mansion
14, Leith Street, George Town, 1020 George Town, Pulau Pinang.
Waktu operasi: 11.00 pagi - 12.00 tengah hari; 2.00 petang - 3.00 petang; 3.30 petang - 4.30 petang | Dibuka setiap hari
Fi Lawatan dengan Juru Pandu*
Dewasa - RM16
Kanak-kanak (bawah 12 tahun) - RM8
*Caj tambahan sebanyak RM1 akan dikenakan bagi tempahan dalam talian. Keutamaan akan diberikan atas sebab saiz pelancongan akan dihadkan.
Kredit: Wonderfood Museum / Facebook
Semua yang datang ke Pulau Pinang dengan tujuan untuk makan makanan tempatan, tapi di Penang Wonderfood Museum, anda boleh bermain dan bergambar bersama replika makanan tradisional Malaysia yang bersaiz mega. Antaranya seperti roti canai, asam laksa dan banyak lagi. Muzium ini juga sama dengan konsep muzium 3D yang popular sekarang.
Lebih seronok jika anda melawat dengan kawan-kawan dan keluarga, sambil mengambil gambar lucu dan menarik di sini.
Penang Wonderfood Museum
49, Lebuh Pantai, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang
Waktu operasi: 9.00 Pagi - 6.00 petang | Dibuka setiap hari
Bayaran Masuk
Pemegang MyKad
Dewasa - RM15
Kanak-kanak - RM10
Bukan pemegang MyKad
Dewasa - RM25
Kanak-kanak - RM15
Kredit: Sam Kresslein / Shutterstock
Terdapat beberapa cerita disebalik bagaimana Love Lane mendapat namanya - sama ada kerana di sinilah para pelayar bertemu dengan kekasih tempatan mereka, atau diinspirasikan daripada peniaga Cina yang menyimpan wanita simpanan mereka di Muntri Street.
Apa pun nama asalnya, ia telah menukar George Town sebagai tempat untuk melepak pada malam hari. Jadi jika anda mencari keseronokan pada sebelah malam, pastikan anda lihat pilihan kafe dan tempat lepak di sepanjang jalan. Nak makan, cuba makanan Mexico, Holy Guacamole yang cukup enak.
______________________________________________________________________
Dengan pelbagai penginapan di seluruh negara, pastinya sukar untuk memilih. Kalau tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel‘Penginapan Hebat’ Traveloka setiap minggu!
Diterjemahkan oleh: Lina Khazali