Anda sedang mencari inspirasi untuk percutian di luar negara? Apa kata kali ini anda pertimbangkan untuk bercuti di Medan, Indonesia!
Medan adalah merupakan sebuah ibu kota Sumatera Utara, Indonesia yang menawarkan pengalaman percutian yang terbaik.
Bandar ini kaya dengan budaya, mercu tanda bersejarah, makanan tempatan, serta pelbagai lagi tarikan unik yang bakal membuatkan anda terkenang-kenang sebaik sahaja balik daripada sini.
Berikut kami kongsikan itinerari percutian bajet selama 3 hari 2 malam di Medan, Indonesia. Anda boleh jadikannya sebagai rujukan dan juga inspirasi dalam merancang percutian anda kelak.
Jom baca!
Dari Kuala Lumpur ke Medan biasanya mengambil masa hanya lebih kurang sejam sahaja dengan menaiki kapal terbang tanpa transit ke mana-mana.
Anda boleh memilih untuk menaiki mana-mana penerbangan dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan Indonesia.
Perbezaan waktu Malaysia dan Medan hanya sejam. Medan lambat sejam dari Malaysia. Jadi apabila anda bertolak contohnya pukul 8 pagi dari Kuala Lumpur, anda akan tiba pukul 8 pagi di Medan.
Sebaik sahaja sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, anda boleh terus pergi ke Tasik Toba sekiranya anda sampai pada waktu siang.
Jika tidak, anda boleh menginap dahulu di hotel berdekatan lapangan terbang seperti di Wing Hotel Kualanamu Airport dan memulakan perjalanan pada keesokan harinya.
Dari lapangan terbang ini, perjalanan ke Danau Toba mengambil masa selama 4 jam dengan menaiki kereta. Oh ya, untuk pengangkutan anda boleh pilih untuk menyewa kereta dan memandu sendiri atau menggunakan khidmat agen pelancongan yang menyediakan kereta sewa bersama pemandu pelancong untuk membawa anda ke tempat-tempat menarik seperti dipersetujui.
Setelah sampai di Danau Toba, anda boleh bersiar-siar dan mengambil gambar berlatarbelakangkan keindahan tasik lagenda ini sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Samosir dengan menaiki bot selama 45 minit. Pemandangan di sekitar Danau Toba ini memang memukau!
Pulau Samosir adalah sebuah pulau yang dikelilingi oleh Danau Toba. Ia memiliki tarikan dan keunikannya tersendiri. Antara aktiviti yang anda boleh lakukan di pulau ini ialah melawat kawasan sekitar seperti berkunjung ke rumah raja-raja Batak, melihat ukiran batu makam raja batak, cerita patung si gale-gale serta menyaksikan persembahan tarian Batak.
Selain itu, jangan lupa luangkan masa membeli belah di sini. Barangan dijual di sini murah-murah dan paling penting, jangan lupa beli ikan masin. Ikan masin yang dijual di pulau ini memang sedap dan lain daripada yang lain!
Di Pulau Samosir anda boleh habiskan masa lebih kurang dua jam sebelum bertolak ke lokasi seterusnya, iaitu Desa Tomok. Desa Tomok ini terletak di pesisir timur Pulau Samosir, kira-kira 45 minit sahaja perjalanan daripada Pulau Samosir.
Desa kecil ini sangat sesuai dilawati bagi merasai suasana hidup di perkampungan Medan. Di sini, anda boleh beli cenderamata diperbuat daripada batu yang menandakan ianya milik bekas keluarga Raja Sidabutar sebagai ole-ole.
Sekiranya anda bercadang untuk menginap di kawasan sekitar Danau Toba ini bagi menikmati lebih banyak masa di sini, anda boleh tempah Danau Toba International Cottage Parapat, Niagara Hotel Lake Toba & Resorts, atau Samosir Cottages Resort.
Selepas daftar keluar daripada tempat penginapan, pengembaraan hari kedua diteruskan. Sebaiknya, bertolak pada awal pagi agar anda mempunyai masa yang banyak untuk perjalanan hari ini.
Dalam perjalanan ke Berastagi, anda boleh singgah ke Bukit Simarjarunjung dan air terjun Sipiso Piso (salah satu air terjun paling tinggi di Indonesia) iaitu kawasan puncak tertinggi di Danau Toba. Biasanya pemandu pelancong akan berhenti sekejap dan memberi ruang untuk pengunjung mengambil gambar sambil menikmati pemandangan daripada puncak bukit ini.
Dari Danau Toba ke Berastagi, perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah. Untuk pengetahuan anda, Berastagi adalah sebuah pekan kecil menawan yang terletak di Gunung Barisan. Ia dikelilingi oleh dua gunung berapi yang aktif, iaitu Gunung Sinabung dan Gunung Sibayak.
Terdapat pelbagai tarikan di sini menjadikannya berbaloi untuk dikunjungi. Contohnya seperti, Berastagi Hot Springs. Anda boleh merehatkan diri dengan berendam di kolam air panas yang dibina khusus untuk pengunjung sambil menikmati pemandangan sekeliling.
Di samping itu, anda juga mendaki kedua-dua gunung berapi ini sekiranya inginkan aktiviti yang lasak. Walaubagaimanapun, pastikan anda membuat persediaan yang rapi sebelum memulakan pendakian dan dapatkan nasihat daripada pemandu pelancong anda sekiranya perlu.
Satu lagi tarikan utama di pekan Berastagi ini ialah, buah-buahan dan sayurannya yang segar-segar belaka. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk beli buah-buahan dan juga sayuran yang ada di sini.
Anda boleh pilih untuk menginap di sini atau bertolak terus ke kawasan bandar Medan dan bermalam di sana sebelum bertolak balik.
Jika anda ingin menginap di pekan Berastagi ini, anda boleh pilih untuk menginap di mana-mana hotel yang disyorkan, contohnya seperti Hotel Sibayak International, Sinabung Hills Berastagi atau Rudang Hotel & Resort Berastagi. Kesemua hotel ini mempunyai kemudahan yang lengkap dan paling penting, harganya pun berpatutan.
Pada hari terakhir ini, anda boleh habiskan masa berjalan-jalan di sekitar kawasan bandar Medan atau berdekatannya. Sebaiknya ambil penerbangan pulang pada waktu malam agar anda mempunyai masa untuk menerokai kawasan pusat bandar Medan sebelum percutian anda tamat.
Sekiranya anda tidak bermalam di Berastagi, anda boleh menginap di mana-mana hotel berdekatan destinasi yang hendak dituju pada hari ini, iaitu Istana Maimun. Salah satu hotel yang terdekat dengan istana ini ialah E Hotel Medan.
Hotel bertaraf 4 bintang ini terletak hanya lebih kurang 400 m sahaja daripada Istana Maimun dan beberapa lokasi penting lain seperti Stesen Medan. Dari stesen Medan ni nak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu pun boleh (45 minit sahaja).
Baiklah, berbalik ke Istana Maimun. Istana Maimun atau Maimoon adalah merupakan sebuah mercu tanda kota Medan. Ia adalah istana Kesultanan Deli dan kini berfungsi sebagai muzium. Terdapat 30 bilik yang mempunyai pelbagai jenis barangan yang bercirikan gaya Eropah di istana ini.
Selain itu, istana ini juga dihiasi dengan paparan gambar keluarga Kesultanan Deli. Di sekitar kawasan istana, terdapat sebuah bangunan kecil yang menempatkan meriam puntung.
Istana ini dibuka seawal pukul 8 pagi sehingga 5 petang dengan tiket masuk Rp 10.000 (0.0030myr) untuk dewasa dan Rp 5.000 (0.0015myr) untuk kanak-kanak.
Selepas berkunjung ke Istana Maimun, anda boleh singgah ke Masjid Raya yang terletak berdekatan dengan istana ini. Masjid Raya dahulunya adalah merupakan sebahagian daripada bangunan Istana Maimun. Ia adalah merupakan masjid peninggalan seorang Sultan Deli, Sultan Ma'moen Al Rasyid Perkasa Alam.
Reka bentuk masjid bersejarah ini berkonsepkan gabungan unsur Timur Tengah, India dan Sepanyol. Memang megah sekali apabila anda melihatnya daripada luar. Uniknya, masjid ini berbentuk segi lapan.
Di masjid ini terdapat sebuah al-quran yang dipercayai sudah berusia ratusan tahun. Al-quran tersebut dipamerkan di bahagian pintu masuk utama ke bahagian jemaah lelaki. Menurut informasi yang ada di situ, alquran tersebut dibawa dari Timur Tengah dan diperbuat daripada kertas kulit tua. Tulisan al-quran ini juga hasil tulisan tangan.
Untuk pengetahuan anda lagi, Masjid Raya ini berusia lebih 1 abad dan termasuk salah satu bangunan tertua di Kota Medan. Masjid ini direka oleh seorang arkitek berasal dari Belanda yang dipanggil secara langsung oleh Sultan pada waktu tersebut. Memang patutlah binaannya bukan calang-calang.
Jika anda masih mempunyai masa terluang sebelum waktu penerbangan, anda boleh berkunjung ke Pasar Petisah untuk membeli belah. Pasar ini terletak hanya 15 minit sahaja dari Istana Maimun.
Pasar tradisional yang cukup terkenal di Kota Medan ini menawarkan pelbagai jenis sayur-mayur, buah-buahan, ikan asin, pakaian seperti kebaya tradisional, alat elektronik dan hasil tangan khas Sumatera Utara. Lokasinya yang mudah diakses menjadikannya salah satu lokasi tumpuan di Medan.
Disamping itu, keramahan para penjual yang beraneka bangsa seperti Tamil-India, Cina, Padang, Aceh, Batak, Jawa, dan Melayu menjadikan pasar ini sebutan orang-orang yang berasal dari luar Medan.
Keindahan kota Medan yang mempunyai pelbagai tarikan ini sememangnya berbaloi untuk dikunjungi. Bajet yang diperlukan untuk berkunjung ke sini juga tidak terlalu mahal dan sesuai untuk mereka yang mahukan percutian bajet dengan pengalaman yang luar biasa. Kebanyakan lokasi percutian di sini juga mesra keluarga dan sesuai untuk diterokai secara solo.
Akhir kata, selamat bercuti di kota Medan!