Semangat Hari Raya: Bagaimana Hari Raya Disambut di Serata Dunia

Traveloka MY
04 Jul 2017 - 4 min read

Kegembiraan perayaan Hari Raya datang menjengah, menandakan berakhirnya Ramadan dan bermulanya bulan Syawal.

Di kebanyakan negara, ini bermakna komuniti Muslim bersatu untuk solat dan meraikan, dan di beberapa tempat, perayaan berlangsung sepanjang bulan.

Anda mungkin terbiasa dengan perayaan Hari Raya yang diraikan di Malaysia, tetapi bagaimana pula dengan negara lain?

Daripada pakaian tradisional, adat tempatan, hinggalah ke hidangan khusus, setiap negara pasti mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Walaupun pelbagai perbezaan budaya, ada elemen yang menghubungkan semua umat Islam dalam perayaan ini iaitu pembaharuan hubungan keluarga/komuniti dan mencari serta memberikan pengampunan.

Dan perayaan bukan hanya untuk umat Islam: orang bukan Islam sering turut serta, terutamanya ketika melawat teman-teman dan menikmati hidangan Hari Raya yang lazat.

Jom tengok perayaan Hari Raya Aidilfitri di seluruh dunia:

Malaysia

Sumber: Abdul Razak Latif / Shutterstock.com

Di sini, Hari Raya dikenali sebagai Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Puasa, disertai dengan “Selamat Hari Raya” sebagai ucapan istimewa untuk perayaan ini.

Bagi perantau yang tinggal di bandar dan mempunyai keluarga di kampung, tradisi balik kampung cukup sinonim di Malaysia.

Sebagai negara dengan majoriti penduduk Islam, orang Malaysia diberi cuti umum selama dua hari. Pada hari pertama, orang Muslim akan berkumpul untuk solat sunat Hari Raya pada sebelah pagi dengan berpakaian serba baru dan cantik, diikuti dengan berkunjung ke rumah saudara-mara dan jiran tetangga.

Hidangan popular seperti rendang, lemang dan ketupat adalah hidangan wajib yang patut ada di atas meja bagi menyambut perayaan ini.

Di negara jiran, Singapura, perayaan ini disambut sama dan tidak kurang meriahnya seperti di Malaysia.

Indonesia

Sumber: INDONESIAPIX / Shutterstock.com

Rumah kepada populasi penduduk Islam terbesar dalam satu negara, tak hairanlah sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini semeriah di Malaysia. Ia dikenali sebagai Lebaran atau Hari Raya Idul Fitri dikalangan orang Indonesia, dan sama seperti di sini, sehari sebelum Hari Raya, ramai yang pulang ke kampung halaman yang dipanggil “mudik”.

Di kawasan luar bandar, Hari Raya selalunya dialu-alukan dengan takbir raya, bunga api dan pertunjukan bunga api. Umat Islam saling bersalam-salaman dengan ucapan “Selamat Idul Fitri” dan memohon kemaafan dengan mengucapkan “Mohon maaf lahir dan batin”.

Tradisi memberi duit raya, sementara hidangan pilihan iaitu sayur lodeh dan opor ayam menjadi kegemaran setiap kali sambutan perayaan ini.

China

Sumber: Rolf_52 / Shutterstock.com

Wilayah dengan komuniti Islam yang paling besar - seperti Xinjing dan Ningxia, meraikan Hari Raya dengan cuti umum selama sehari.

Di wilayah Yunnan, ada yang mengembara ke makam Sayyid Ajjal di Wo-erh-to untuk membersihkan makamnya dan membaca ayat suci Al-Quran. Sayyid Ajjal merupakan Gabenor Wilayah pertama pada kurun ke-13 dan seorang ketua Muslim yang bijak pandai.

Orang Muslim Uighur di Xinjing selalunya menghidangkan sanzi (mi goreng rangup) sebagai hidangan tradisi Hari Raya.

Afghanistan

Rakyat negara ini menyambut Hari Raya dengan tradisi yang unik sekali iaitu perlawanan telur yang disambut secara besar-besaran.

Dikenali sebagai Tokhm-Jangi, keluarga-keluarga akan merebus beratus-ratus telur dan mengecatnya dengan warna yang ceria. Kemudian, orang ramai akan berkumpul di taman-taman dan kawasan terbuka yang lain untuk memecahkan telur-telur yang berwarna-warni itu.

Hari Raya disambut selama tiga hari, dan mereka membuat persiapan dengan membersihkan rumah dan membeli pakaian baru. Apabila malam menjelang tiba, mereka menyalakan unggun api di luar rumah dan berbual sesama mereka.

Jelabi (manisan yang digoreng dan dicelup dengan sirap), shor nakhod (kacang kuda dan salad kentang), sheer pira (fudge susu manis dengan kacang pistachio dan walnut) adalah hidangan yang biasa dihidangkan kepada para tetamu.

Turki

Baklava buatan sendiri.

Di Turki, Hari Raya seakan-akan sambutan hari manisan, kerana ia dikenali sebagai Seker Bayram (Manisan Bayram) dan Ramazan Bayram (Bayram Ramadan); bayram adalahistilah yang digunakan untuk cuti umum.

Kanak-kanak selalunya akan pergi dari pintu ke pintu meminta manisan, seperti manisan Turki dan baklava.

Jika anda melawat negara ini ketika sambutan Hari Raya, anda akan sentiasa mendengar orang-orang tempatan menyapa satu sama lain dengan “Bayramınız kutlu olsun” atau “Bayramınız mübarek olsun”. Kedua-duanya bermaksud “Semoga bayram anda direstui”.

India

Pada malam Raya atau Chaand Raat (bermaksud Malam Bulan), ialah malam yang menyaksikan ahli keluarga melakukan beli-belah saat akhir, jadi bazar dan pusat membeli-belah dipenuhi dengan kegembiraan dan keriangan.

Wanita-wanita muda akan memakai gelang yang berwarna-warni dan memakai mehndi atau inai, di tangan dan kaki mereka.

Hidangan enak Hari Raya seperti briyani, meethi sewai (vermicelli yang dimasak dengan susu, badam dan pistachioI), dan sheer khurma (puding vermecelli dengan susu dan kurma).

Masih adamoodRaya? Di Malaysia, Raya kan sebulan. ;)

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

Hotel
Tiket Penerbangan
Things to Do
Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2025 Traveloka. All rights reserved